Tuesday 19 April 2011

SOLAT HAJAT BERSAMA PENEMAN PESAKIT HUSM


31 Mac 2011 - Pendedahan aktiviti kerohanian kepada staf dan juga kepada pesakit serta peneman pesakit merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam merealisasikan konsep Hospital Mesra Ibadah di HUSM ini. Sehubungan dengan itu Unit Hal Ehwal Islam telah merancang untuk melaksanakan program solat hajat bersama peneman pesakit HUSM sebulan sekali bertempat di Surau HUSM.

Pendedahan ini adalah bertujuan untuk menyuntik kesedaran dan memberi semangat kepada mereka yang sedang diuji dengan ujian kesakitan bahawa setiap ujian dan kesembuhan itu datangnya daripada Allah.

“Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku” (Surah Asy-Syu’araa’: 80)
Terapi solat dapat mendidik hati supaya bertaqwa kepada Allah SWT.

”Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah al-Baqarah: 45)

Sehubungan itu, Unit Hal Ehwal Islam HUSM merancang melaksanakan solat hajat bersama peneman pesakit HUSM dalam memberi pendedahan kerohanian kepada mereka akan kesembuhan merupakan Kudrat dan Iradat Allah.
Selain itu jamuan juga turut disediakan bagi meringankan beban peneman pesakit dan meraikan mereka dengan menghubungkan silaturahim antara peneman pesakit dengan warga HUSM umumnya; sebahagian peneman pesakit terpaksa menunggu waris atau ahli keluarga yang terlantar sakit sehingga berbulan-bulan lamanya. Di harapkan program sebegini dapat memberi manfaat bersama.

Monday 11 April 2011

CSE: Kejayaan Material vs Kejayaan Spiritual

Orang yang bersifat kejayaan material meletakkan kejayaan sebagai miliknya seorang tanpa memikirkan orang lain dan tiada keseimbangan dalam hidup contohnya kaya harta benda tetapi jiwanya kosong. Manakala, Orang yang bersifat kejayaan spiritual meletakkan kejayaan mereka sebagai kejayaan bersama dan dia tidak mahu kejayaan yang dimilikinya menjadi miliknya seorang. Contohnya, dia mahukan kejayaan yang diusahakan adalah hasil daripada saling bantu membantu diantara satu sama  lain.

Adapun Islam mementingkan keseimbangan diantara material dan spiritual iaitu untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan hidup di dunia mahupun kehidupan di akhirat. Sebagaimana contoh, apabila kamu menyelesaikan solat dan berdoa maka bersegeralah kamu untuk pergi bekerja. Dan ini adalah keseimbangan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kejayaan material dan kejayaan spiritual                                 
Mencari kekayaan bukanlah sesuatu yang dilarang, yang penting adalah bagaimana kita memperolehi kejayaan tersebut dan bagaimana menggunakan kekayaan tersebut. Contoh yang terbaik adalah Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad SAW, mempunyai sifat jujur dan amanah dalam perniagaan.  Selain itu, contoh yang terbaik adalah Saiditina Khadijah yang menjadikan kekayaan sebagai perjuangan untuk agama Islam. Saidina Abu Bakar menggunakan kekayaan beliau untuk membebaskan hamba dan menjadikan kekayaan semata-mata untuk Islam. Ini adalah contoh yang terbaik untuk mendapat keseimbangan material dan spiritual. Oleh itu, material amatlah penting untuk perjuangan agama asalkan material itu halal dan perjuangan agama itulah sebagai spiritual kerana umur yang panjang tidak penting, yang penting sumbangan kita kepada Agama dan orang lain.

Wednesday 30 March 2011

DISKUSI FIQH PERUBATAN

  
Pendedahan asas fiqh perubatan kepada para pelajar perubatan khususnya amat penting dalam pelaksanaan tugas mereka kelak agar selari dengan kehendak syarak.

17 Mac 2011 -  Ilmu asas fiqh perubatan amat penting dipelajari, diketahui dan difahami oleh pelajar-pelajar umumnya dan pelajar perubatan khususnya. Sehubungan itu, pihak Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama dan juga permintaan daripada pelajar-pelajar perubatan USM Kampus Kesihatan untuk mengadakan Diskusi Fiqh Perubatan. Program ini akan dilaksanakan 2 kali sebulan sepanjang tempoh pengajian pelajar pada tahun ini.

Diskusi yang kedua telah diadakan pada 17 Mac 2011 (Khamis), bertempat di Bilik Taklimat 1, Blok Peperiksaan dan Sumber Pelajar. Dengan kehadiran seramai 52 orang pelajar (pelajar tahun 1 hingga tahun 3) telah memeriahkan suasana ilmu dengan pelbagai persoalan yang berkaitan tajuk. Perbahasan yang dikupas pada kali ini adalah berkaitan rukhsah pesakit, permasalahan pengurusan ibadah pesakit dan penyelesaiannya. Kesungguhan para pelajar dalam mempelajari dan memahami ilmu fiqh perubatan jelas tergambar semasa sesi perbincangan dan praktikal berkumpulan.

Diskusi yang memakan masa selama 2 jam  (3.15 hingga 5.15 petang) memberi impak dikalangan para pelajar perubatan; sebagai pendedahan asas kepada para pelajar khususnya pelajar perubatan mengenai kefahaman perubatan yang berkaitan dengan hukum hakam agar pelaksanaan perubatan selari dengan kaedah syarak.

BENGKEL PENGURUSAN JENAZAH SIRI 1

16 Mac 2011 -  Mewujudkan kumpulan pengurusan jenazah yang terdiri daripada staf Hospital USM adalah menjadi objektif  utama kepada pelaksanaan Bengkel Pengurusan Jenazah Siri 1 ini. Penyertaan yang terhad kepada 50 orang peserta memudahkan lagi dari segi pemahaman secara teori bahkan lebih-lebih lagi dari segi praktikal. Bengkel Pengurusan Jenazah Siri 1 ini  dilaksanakan khusus untuk staf wanita sahaja. Pengkhususan peserta mengikut gender memudahkan pengurusan praktikal dan juga penjagaan dari segi batas aurat semasa sesi bengkel dilaksanakan.

Pihak Unit Hal Ehwal Islam HUSM telah menjemput Ybrs. Ustaz Mohd Kashuadi Abd Sihani, Pegawai Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan untuk mengupas mengenai pengurusan jenazah keseluruhannya iaitu pengurusan memandikan jenazah, mengapan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah.  Keempat-empat perkara tersebut merupakan urusan fardhu kifayah yang mesti disempurnakan oleh orang-orang Islam terhadap seseorang Islam yang telah mati sama ada kecil atau besar, lelaki mahupun perempuan.

Pelaksanaan sesi praktikal memandikan dan mengapankan jenazah secara berkumpulan memberi peluang kepada para peserta untuk lebih faham secara mendalam; setiap kumpulan dikendalikan oleh fasilitator yang berpengalaman dalam pengurusan jenazah iaitu Pn. Hjh Nor Himah Hj Mahmood, Pn. Meriam Jusoh, Matron Saniah Said, Matron Saleha Itam dan Matron Norliah Yahaya daripada Unit Kejururawatan.
   Praktikal secara berkumpulan dapat menambahkan lagi tahap pemahaman peserta terhadap isi penyampaian.

Unit Hal Ehwal Islam HUSM memilih kaedah program latihan berbentuk bengkel seperti ini kerana matlamat unit supaya setiap peserta dapat memahami isi kandungan program atau isi penyampaian dengan baik disamping latihan secara praktikal memberi kesan kepada setiap individu peserta tersebut.


BENGKEL PENGURUSAN IBADAH PESAKIT DALAM SIRI 1

Para peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan supaya penyampaian maklumat  lebih berkesan 

Dalam usaha memantapkan konsep Hospital Mesra Ibadah di Hospital USM, pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Antaranya ialah Bengkel Pengurusan Ibadah Pesakit Dalam yang mana sepanjang tahun 2011, Unit Hal Ehwal Islam merancang untuk melaksanakan bengkel ini sebanyak 5 siri kepada semua jururawat dan atendan kesihatan yang bertugas di dalam wad khususnya. Objektif pelaksanaan bengkel ini adalah memberi kefahaman serta memantapkan pengetahuan para jururawat dan atendan kesihatan tentang pengurusan ibadah pesakit.
Pada 28 Februari 2011 (Isnin), Bengkel Pengurusan Ibadah Pesakit Dalam Siri 1 telah dilaksanakan dengan jayanya di Bilik Taklimat 1 dan 3, Blok Pembelajaran dan Sumber Pelajar, bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang. Seramai 112 orang jururawat dan atendan kesihatan yang telah menyertai bengkel ini. Peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu seramai 56 orang untuk satu kumpulan; kedua-dua kumpulan tersebut dibimbing oleh  staf Unit Hal Ehwal Islam. Bengkel selama 2 jam ini memberi impak positif kepada para peserta yang mana para peserta didedahkan secara teori dan praktikal mengenai tatacara pengurusan ibadah pesakit. Selain itu juga para peserta diberi tugasan berkumpulan bagi penyelesaikan permasalahan ibadah ketika sakit sebagai bukti akan kefahaman peserta.
   
Tugasan berkumpulan: peserta diberi tugasan untuk menyelesaikan permasalahan tatacara bersuci dan solat pesakit  secara praktikal  untuk menilai tahap pemahaman peserta 

Secara keseluruhannya bengkel ini berjalan dengan baik dan lancar. Penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk menjamin matlamat tercapai dalam merealisasikan HUSM sebagai Hospital Mesra Ibadah. 

CSE 2 : Menghayati Sunnah Rasulullah SAW Dalam Kehidupan.

Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432 H, pihak Unit Hal Ehwal Islam tidak melepaskan peluang untuk turut serta meraikan sambutan tersebut dengan mengadakan slot ceramah Maulidur Rasul yang  diselitkan dalam program Continuous Spiritual Education (CSE) yang mana merupakan program bulanan Unit Hal Ehwal Islam dengan tajuk ’Menghayati Sunnah Rasulullah SAW Dalam Kehidupan’. CSE dilaksanakan secara berkala iaitu sebulan sekali kepada warga Hospital USM; bertujuan memberi pendedahan kerohanian atau motivasi kerohanian kepada staf dalam melahirkan modal insan yang berintegriti.
Program tersebut dilaksanakan pada 20 Februari 2011 (Ahad), bertempat di Auditorium Perubatan Nuklear HUSM yang mana seramai 271 orang peserta telah membanjiri dewan untuk mendengar ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zamri bin Abdul Halim, Pegawai Penyelaras Bahagian Takmir (Pegawai JAKIM) yang mana beliau bertugas di Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Perbahasan yang cuba dikupas pada sambutan tersebut iaitu mengenai penghayatan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan kita seharian. Menurut beliau, penghayatan sunnah Baginda Rasulullah SAW bukan hanya pada setiap kali sambutan Maulidur Rasul sahaja dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi SAW bahkan setiap detik dan setiap ketika kita perlu menghayatinya. Beliau juga turut menceritakan sirah Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan yang perlu dan sepatutnya dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan kita seharian seperti pergaulan Nabi SAW dalam keluarga, dengan para sahabat, orang tua, anak-anak kecil dan sebagainya. Selain itu banyak maklumat yang menarik turut dikongsi bersama peserta.
Slot ceramah tersebut memakan masa 1 jam 30 minit memberi impak yang mendalam dalam diri setiap individu peserta. Daripada penilaian program yang dilaksanakan, secara keseluruhannya para peserta berpuas hati dan memberi komentar yang baik. Walaubagaimanapun untuk penambahbaikan pada program seterusnya perlu kepada pemilihan tajuk yang baik dan sesuai; memberi tarikan kepada staf HUSM seterusnya memberi kesan dalam diri setiap yang hadir.